AMANAT
Y.M. DATO' MAHAGURU MASTER HAJI OMARDIN BIN MAUJU

“Orang-orang
melayu yang mempunyai personaliti unggul yang berhemah dan berbudi
tinggi, berjaya dalam pengajian dan segala bidang yang diceburi”,
begitu lah saranan YAB. Perdana Menteri yang juga Ulul Amri
II PSSLM, mencabar orang-orang melayu meningkatkan usaha dan
menaikkan imej maruah bangsa.
Budaya berhemah, berbudi bahasa, berdisiplin dan kesetiaan adalah
amalan dan teras kepada PSSLM. Budaya inilah yang menjadi tunjak
kekuatan PSSLM. Budaya inilah yang telah menyemarakkan perkembangan
PSSLM sejak ditubuhkan empat dekat yang lalu, bermula dengan
lima orang anak murid dan kini telah menjangkau lebih 800,00
ribu anak murid di dalam dan serata dunia, telah menganuti dan
mempelajarinya. Satu jangka masa yang lama. Satu jumlah ikutan
yang boleh dibanggakan.
Mencukupikah
kita dengan pencapaian ini? Mungkin dari saya ia adalah satu
pencapaian diri tetapi PSSLM dizahirkan bukan untuk saya mendabik
dada tetapi untuk orang Melayu memertabatkan budaya Melayu untuk
memberi kesinambungan warisan Hang Tuah, Hang Jebat, Mat Kilau,
Tok Bahaman…Wira Melayu… yang telah berjaya mempertahankan
dan memperjuangkan budaya yang telah terbukti menjadi teras
kekuatan Melayu. Budaya yang disegani dan dihormati oleh kaum
lain dan masyarakat antarabangsa.
Bersesuaian dengan saranan Ulul Amri II kita, pemimpin yang
kita sanjung, haruslah kita sambut saranan itu dengan penuh
kesetiaan mengorak langkah, langkah yang membawa kita ke arena
global, langkat yang bukan hanya untuk mempertahankan diri,
bukan hanya gelanggang seni tetapi langkah yang lebih dalam,
langkah yang dapat menimba kekuatan mental, ketahanan diri,
berdisiplin dan berwawasan untuk melahirkan jaguh, melahirkan
ilmuan, mampu bersaing, mampu menterjemah, mencipta ilmu Al-Quran
untuk kebaikan ummah. Inilah tanggungjawab kita sebagai pewaris
kepada generasi Melayu yang akan datang. Kita mesti membarakan
slogan “ TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA “. Kita lah
pembawa bendera ini.
Inilah
amanat saya, inilah agenda yang hendak saya cadangkan kepada
PSSLM, agenda utama untuk sepuluh tahun yang akan datang. Agenda
yang mampu untuk melahirkan Wira Negara. Wira Melayu yang Cemerlang,
Gemilang dan Terbilang. Wira bertaraf global.